Pendapatan Tukang Kasut Cecah RM 5000 Sebulan

Dimana ada kemahuan di situ ada jalan...Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.
Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandaraya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.
Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.
Pendapatan Tukang Kasut
Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.
Dia berkata tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalahumpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.
"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.
"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di sini. Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University of Melbourne, Australia.
Beliau berkata semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.
"Jadi apabila saya berhenti kerja, saya memulakan perniagaan ini dan sekarang ini saya boleh menarik nafas lega dengan perniagaan ini," katanya yang memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sehari.
Perkhidmatan
Ahmad Mokhtar berkata dia turut menaiktaraf perkhidmatan perniagaan itu dengan membuat kasut bagi orang kurang upaya (OKU) selain mengambil kontrak membaiki kasut untuk pasukan badan beruniform di sekolah-sekolah sekitar Alor Setar, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.
Beliau yang telah bekerja sebagai tukang kasut selama 15 tahun berkata selain perkhidmatan membaiki, dia turut menyediakan perkhidmatan mengilat, menjual aksesori kasut dan kasut terpakai.
"Kini kami mahu dikenali dengan gelaran 'Shoes Master' atau pakar kasut dan tidak lagi 'tukang kasut' kerana mahu mengangkat martabat kerjaya ini di kalangan masyarakat," katanya.
Pandangan Ramai
Ahmad Mokhtar berkata dia tidak peduli dengan pandangan orang ramai tentang pekerjaannya.
"Apa yang penting pendapatan saya ini halal di sisi agama dan saya tidak mengganggu hidup orang lain. Kalau asyik memikirkan tentang pandangan orang lain, tentu saya tidak boleh berjaya seperti hari ini," katanya.
Seorang lagi tukang kasut, Ahmad Daud, 45, berkata dia mula membaiki kasut sejak 20 tahun lepas dan memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Walaupun sudah berumur 45 tahun, tetapi sehingga kini dia masih membujang kerana cintanya pernah ditolak dengan alasan pekerjaannya tidak mampu untuk membina sebuah keluarga.
"Menjadi tukang kasut perlu banyak bersabar kerana ada juga masyarakat berpendapat kami ini penagih dadah. Mungkin mereka beranggapan begitu kerana kami ini hanya seorang tukang kasut.
"Saya harap agar pekerjaan saya ini mendapat layanan yang sama rata dengan pekerjaan lain dan masyarakat dapat mengubah pemikiran mereka bahawa kerjaya membaiki kasut bukanlah pekerjaan yang hina," katanya.
Pinjaman Bank
Ahmad berkata dia pernah memohon untuk membuat pinjaman bank bagi meluaskan perniagaannya, tetapi permohonannya tidak pernah diterima. Perkara itu turut diakui oleh kawannya, Ahmad Mokhtar.
Beliau berkata persaingan dalam industri membaiki kasut tidak banyak kerana rata-rata tukang kasut di kawasan itu sudah mempunyai pelanggan tetap.
"Mungkin juga disebabkan pandangan rendah orang ramai terhadap pekerjaan kami menyebabkan orang lain tidak memilih untuk menjadi tukang kasut," katanya yang memberitahu dia membuka kedai kasutnya setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.


Rencana ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia)..

DIMANAKAH KITA SEKARANG..??

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda.Kemudian, genggam ia kuat-kuat dan angkatkan ke atas. Laungkan ... "ALLAHU AKBAR" @SAYA KUAT @SAYA BOLEH sekuat-kuatnya. Whatever la...yang korang suka..hehehe. 


Cuba korang luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka.Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar.

Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar  pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya.Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. Pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!!!
Di usia ini kita sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran.Pada usia ini, kitasudah baligh dan mukalaf.Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah kita??

Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya.Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, kita mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini,jadi kita  hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari.Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau orang yang lebih berpengalaman.Mereka makan 'garam' terlebih dahulu dari kita. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "
good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas dan hayun ke hadapan.Itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah kita sekarang..?

   (sumber di petik dari www.virtualfriends.net, penulis DilaDellila dan di edit oleh AI_MAN)